Internet Lebih Selamat

Kami membantu usaha menjadikan Internet lebih selamat untuk semua orang.

Kami mempunyai sejarah yang panjang dalam membangunkan teknologi keselamatan. Teknologi tersebut bukan hanya memberikan manfaat kepada pengguna kami sendiri, tetapi juga dunia Internet secara keseluruhannya. Apabila kami mencipta teknologi bagi menjadikan perkhidmatan kami lebih selamat, kami mencari peluang untuk mengongsikannya demi kebaikan semua orang. Oleh sebab ancaman berubah mengikut masa, langkah penyelesaian kami yang mudah suai dan berpandangan ke hadapan membuka jalan untuk diikuti oleh syarikat lain.

Penyemakan Imbas Selamat melindungi pengguna Chrome dan ramai lagi

Pada asalnya, kami mencipta teknologi Penyemakan Imbas Selamat untuk melindungi pengguna Chrome daripada perisian hasad dan cubaan memancing data. Kami melakukannya dengan menghantar maklumat kepada pengguna apabila mereka cuba melawat tapak web yang berbahaya. Bagi menjadikan Internet lebih selamat untuk semua orang, kami telah memberikan teknologi ini secara percuma kepada syarikat lain untuk digunakan dalam penyemak imbas mereka, termasuk Apple Safari dan Mozilla Firefox. Hari ini, separuh daripada populasi Internet dunia dilindungi oleh Penyemakan Imbas Selamat.

Kami juga menghantar makluman kepada pemilik tapak web apabila tapak mereka mempunyai kecacatan keselamatan. Seterusnya, kami menawarkan alatan percuma untuk membantu mereka menyelesaikan masalah tersebut dengan cepat. Kami akan terus berkongsi teknologi keselamatan baharu yang kami bangunkan. Dengan cara ini, kami membantu usaha membina Internet yang lebih selamat untuk semua orang.

Kami menggunakan HTTPS untuk memastikan anda lebih selamat semasa menyemak imbas Internet

Apabila anda mengakses perkhidmatan kami melalui penyulitan HTTPS, kami melindungi anda daripada penjenayah siber dan penggodam yang berniat jahat. Tujuannya adalah memastikan anda hanya mendapat perkara yang dicari dan sampai ke tapak yang diingini sahaja. Untuk mendorong tapak web supaya menggunakan keselamatan tambahan ini, kami telah menjadikan penyulitan HTTPS satu daripada isyarat yang digunakan oleh algoritma Carian Google semasa menyusun kedudukan tapak web dalam hasil carian kami.

Kami menyediakan ganjaran keselamatan untuk mendedahkan kelemahan

Di Google kami mewujudkan program ganjaran keselamatan yang memberikan bayaran kepada penyelidik bebas untuk mencari kelemahan dalam perkhidmatan kami dan mencipta penyelesaiannya. Setiap tahun kami memberikan berjuta-juta dolar dalam bentuk geran penyelidikan dan ganjaran kepada mereka yang melaporkan pepijat. Kini kami menggunakan program ganjaran keselamatan untuk beberapa produk Google, seperti Chrome dan Android.

Kami menjadikan alatan keselamatan kami tersedia untuk digunakan oleh para pembangun

Kami berkongsi teknologi keselamatan kami apabila kami percaya teknologi itu boleh memberikan nilai kepada orang lain. Sebagai contoh, kami menjadikan Pengimbas Keselamatan Awan Google tersedia untuk digunakan oleh para pembangun secara percuma supaya mereka boleh mengimbas dan menganalisis aplikasi web mereka di App Engine bagi mengesan kelemahan keselamatan.

Kami berkongsi data tentang amalan kami untuk membina Internet yang lebih selamat

Sejak tahun 2010, Google telah menerbitkan Laporan Ketelusan. Laporan ini mengandungi statistik tentang pelbagai perkara seperti penarikan balik hak cipta, permintaan kerajaan untuk mendapatkan data pengguna dan inisiatif keselamatan seperti Penyemakan Imbas Selamat. Kami juga berkongsi data tentang penggunaan penyulitan untuk tapak web dan e-mel dalam industri ini. Kami melakukan langkah ini bukan sahaja untuk berkongsi kemajuan kami dengan pengguna, tetapi juga untuk menggalakkan orang lain supaya menerapkan standard keselamatan yang lebih kukuh demi mewujudkan Internet yang lebih selamat untuk semua orang.