Cara Iklan Berfungsi

Kami tidak menjual maklumat peribadi anda kepada sesiapa.

Kebanyakan perniagaan kami adalah berdasarkan pemaparan iklan, pada perkhidmatan Google mahupun di laman web dan aplikasi mudah alih yang bekerjasama dengan kami. Iklan membantu kami menyediakan perkhidmatan secara percuma untuk semua orang. Kami menggunakan data untuk memaparkan iklan kepada anda, tetapi kami tidak menjual maklumat peribadi seperti nama, alamat e-mel dan maklumat pembayaran.

Kami menggunakan data untuk menjadikan iklan berkaitan

Kami berusaha untuk memaparkan iklan yang berguna kepada anda dengan menggunakan data yang dikumpul daripada peranti anda. Data tersebut termasuk carian dan lokasi, tapak web dan apl yang anda gunakan, video dan iklan yang anda lihat serta maklumat peribadi yang telah anda berikan kepada kami, seperti julat umur, jantina dan topik yang anda minati.

Jika anda log masuk dan bergantung pada Tetapan Iklan anda, data ini memberitahu iklan yang anda lihat di seluruh peranti anda. Contohnya, jika anda melawat tapak web pelancongan pada komputer di tempat kerja, anda mungkin akan melihat iklan tentang tiket kapal terbang ke Paris pada telefon anda malam itu.

Pengiklan hanya membayar untuk iklan yang dilihat atau diketik oleh orang ramai

Apabila pengiklan menjalankan kempen iklan menggunakan perkhidmatan kami, mereka memberi kami bayaran berdasarkan prestasi sebenar iklan tersebut dan bukannya berdasarkan maklumat peribadi anda. Prestasi iklan boleh termasuk perkara seperti, setiap kali seseorang melihat atau mengetik iklan atau mengambil tindakan setelah melihat iklan, seperti memuat turun apl atau mengisi borang permintaan.

Kami menunjukkan prestasi iklan kepada pengiklan

Kami memberi pengiklan data tentang prestasi iklan mereka, tetapi kami berbuat demikian tanpa mendedahkan sebarang maklumat peribadi anda. Pada setiap titik dalam proses pemaparan iklan, kami memastikan maklumat peribadi anda dilindungi dan dirahsiakan.

Cara iklan berfungsi pada perkhidmatan Google dan tapak web rakan kongsi

Kami menggunakan data untuk memaparkan iklan yang berguna kepada anda, sama ada pada perkhidmatan Google atau tapak web dan apl mudah alih yang bekerjasama dengan kami.

Basikal yang berlainan warna dalam tetingkap penyemak imbas

Cara iklan Carian berfungsi

Apabila anda menggunakan Carian Google, iklan mungkin dipaparkan di sebelah atau di atas hasil carian yang berkaitan. Pada kebanyakan masa, iklan ini dicetuskan oleh carian yang baru sahaja anda lakukan dan lokasi anda. Sebagai contoh, jika anda melakukan carian untuk “basikal”, anda mungkin akan melihat iklan jualan murah basikal di kedai berhampiran anda.

Dalam kes lain, kami menggunakan data tambahan seperti carian lepas atau tapak web yang pernah anda lawati untuk membantu kami menyampaikan iklan yang lebih berguna. Oleh sebab anda pernah melakukan carian untuk “basikal”, jika anda melakukan carian untuk “percutian” pula, anda mungkin akan melihat iklan Carian untuk destinasi percutian yang sesuai untuk berbasikal.

Iklan Google dalam Gmail diserlahkan dalam warna kuning

Cara iklan YouTube berfungsi

Apabila menonton video di YouTube, anda mungkin melihat iklan dimainkan terlebih dahulu atau pada halaman video itu sendiri. Iklan ini adalah berdasarkan video yang telah anda tonton dan beberapa data lain seperti carian semasa dan baru-baru ini di YouTube.

Sebagai contoh, jika anda mencari “petua fesyen” atau menonton video berkaitan kecantikan, anda mungkin akan melihat iklan untuk rangkaian barangan kecantikan baharu. Iklan ini membantu menyokong pembuat video yang anda tonton.

Anda boleh melangkau banyak iklan YouTube jika anda tidak ingin menontonnya.

Video YouTube tentang wanita yang gembira memaparkan iklan cermin mata hitam yang bergaya

Cara iklan Gmail berfungsi

Iklan yang anda lihat dalam Gmail adalah berdasarkan data seperti kata kunci daripada mesej dalam peti masuk anda. Proses ini adalah automatik sepenuhnya; tiada sesiapa yang membaca e-mel anda bagi tujuan memaparkan iklan kepada anda.

Sebagai contoh, jika baru-baru ini anda menerima banyak mesej tentang fotografi dan kamera, maka anda mungkin akan melihat iklan tawaran daripada kedai kamera yang berhampiran.

Penyemak imbas dengan gambar profil mempunyai iklan beg hijau yang bergaya

Cara iklan berfungsi di tapak web rakan kongsi Google

Banyak tapak web dan apl mudah alih bekerjasama dengan kami untuk memaparkan iklan. Pengiklan ini menentukan iklan yang akan dipaparkan kepada “jenis” khalayak tertentu berdasarkan maklumat peribadi yang dikongsikan oleh pengguna kami dan data tentang aktiviti dalam talian anda yang kami kumpul: sebagai contoh, “lelaki berumur 25 – 34 tahun yang berminat dalam topik perjalanan”.

Kami juga mungkin memaparkan iklan berdasarkan tapak web yang pernah anda lawat - sebagai contoh, anda mungkin melihat iklan kasut merah yang pernah anda masukkan dalam troli beli-belah dalam talian, tetapi tidak membelinya. Tetapi kami melakukannya tanpa mendedahkan sebarang maklumat peribadi, seperti nama, alamat e-mel atau maklumat bil.

Kawal pengalaman iklan Google anda

Kami memberi anda alatan untuk mengawal jenis iklan yang anda lihat tidak kira sama ada anda log masuk atau tidak.

Tablet dengan Tetapan Iklan dan iklan cermin mata hitam

Kawal iklan berdasarkan pilihan anda

Dalam Tetapan Iklan, anda boleh mengawal iklan berdasarkan topik yang anda minati. Sebagai contoh, jika anda menggunakan tetapan Pemperibadian Iklan untuk memberitahu Google bahawa anda suka muzik pop, anda mungkin melihat iklan lagu atau album yang akan keluar di pasaran atau persembahan yang akan diadakan di kawasan anda apabila anda log masuk ke YouTube.

Jika anda mematikan Pemperibadian Iklan semasa log masuk, kami akan berhenti memaparkan iklan yang berkaitan dengan minat anda di seluruh perkhidmatan Google serta tapak web dan apl yang bekerjasama dengan kami. Jika anda log keluar, tindakan mematikan Pemperibadian Iklan hanya memberi kesan kepada perkhidmatan Google yang memaparkan iklan.

Iklan Google untuk kereta hijau dengan butang redam di bahagian atasnya

Alih keluar iklan yang tidak ingin anda lihat

Kami memberi anda keupayaan untuk Redam Iklan Ini pada banyak iklan yang kami paparkan menerusi tapak web dan apl rakan kongsi kami. Dengan memilih "X" di penjuru iklan, anda boleh mengalih keluar iklan yang anda dapati tidak lagi berkaitan.

Sebagai contoh, iklan kereta mungkin membantu semasa anda mencari-cari kereta baharu dahulu, tetapi setelah selesai membeli kereta baharu dan bergembira memandunya, anda mungkin tidak ingin lagi melihat iklan daripada Google berkaitan kereta yang baru sahaja anda beli itu.

Jika anda log masuk dan bergantung pada Tetapan iklan anda, kawalan ini akan diterapkan di seluruh tapak web dan apl yang bekerjasama dengan kami pada semua peranti yang anda gunakan untuk log masuk.

Anda juga boleh menyekat iklan tanpa perlu log masuk dengan menggunakan butang Sekat Pengiklan Ini pada perkhidmatan Google yang memaparkan iklan.

Iklan cermin mata hitam dengan butang maklumat di bahagian atas sebelah kanan

Ketahui data yang kami gunakan untuk memaparkan iklan kepada anda

Kami mahu membantu anda memahami dengan lebih lanjut data yang digunakan untuk memaparkan iklan kepada anda. Mengapa Iklan Ini ialah ciri yang membolehkan anda mengklik gesaan untuk mengetahui sebab mengapa anda melihat sesuatu iklan itu. Sebagai contoh, anda mungkin melihat iklan pakaian kerana anda telah melawat beberapa tapak web fesyen. Atau jika anda melihat iklan restoran, anda mungkin mendapati iklan itu dipaparkan kerana lokasi anda. Jenis data sebegini membantu kami memaparkan iklan tentang perkara yang mungkin berguna buat anda. Tetapi ingat, kami tidak akan sekali-kali berkongsi data ini dengan pengiklan.